Jumat

Makna Yakin

Keyakinan pada tingkat makrifat (haqul yakin) adalah berkonsepkan,  tidak yang memberi dan tidak yang menerima, tiada yang menyembah dan tiada yang disembah, tiada sifat engkau dan tiada sifat
aku, semua itu adalah semata-mata Yang Maha  kuasa dan Meliputi.Yakin pada tingkat makrifat adalah yang berdasarkan kamil atau sejati atau sebati. Kamil yang tidak berarti bersatu maupun bercerai. Kamil yang dimaksudkan di sini adalah yang berarti satu.
Yaitu keyakinan yang tidak membawa makna aku dan tidak juga kamu, keyakinan yang terjadi pada tingkat ini, adalah pada makam wahdah, atau hakikat muhamad. Keyakinan ini telah melampaui makam fana bahkan ia telah berada di makam baqa.

Apabila akal dan hatinya percaya dan yakin bahawa tiada yang ada, tiada yang wujud dan tiada yang maujud tetapi itu semua pada hakikinya adalah Dia (Allah), maka inilah satu daripada tanda-tandanya salik itu telah sampai kepada matlamat yang dicarinya.

Selain daripada Dia semuanya ilusi belaka, yang ada hanyalah Dia semata-mata. Segala sifat, nama, kelakuan dan dzat adalah Dia semata-mata. Inilah pandangan dan pegangan mereka yang telah sampai ke tahap yakin sepenuh yakin.

Mereka mempunyai iktikad yang tinggi dan bulat, iatu sangat-sangat yakin kepada apa yang dipegang oleh akal dan hatinya. Iktikad mereka pada ketika itu adalah diri mereka sudah tidak ada lagi, segala yang ada, segala yang berlaku dan segala yang akan berlaku adalah semata-mata Dia.


Mereka hanya mahu bertawakal dan berserah kepadaNya. Pasrah tanpa bimbang, ragu-ragu dan was-was. Diri mereka sendiri telah dianggap binasa, apabila diri telah binasa, yang tinggal lagi bukan diri mereka, yang tinggal bukan lagi alam, bahkan hanya Dia semata-mata.Ini bukanlah bersatu dengan Allah (hulul), tetapi hanyalah tawakal atau berserah kepadaNya dengan dilandasi Makrifatullah.

Inilah pegangan mereka yang dikasihi-Nya sama ada mereka yang terdahulu ataupun pada masa sekarang ini. Mereka tidak menggunakan ilmu jampi serapah, ilmu pengasih atau ilmu kebal apabila mereka berhadapan dengan sesuatu keadaan yang mencabar, tapi yang mereka ada adalah keyakinan mereka kepada Allah. Dan itu sudah cukup untuk menyelamatkan mereka dari mara bahaya di dunia dan akhirat.

Yakin kepada kekuasaan Allah, membuatkan mereka tidak merasa takut kepada mara bahaya sama ada di dunia ini atau di alam ghaib (akhirat), mereka tidak takut selain Allah. Keyakinan kepada Allah itu, yang membuatkan mereka tidak berbekas oleh senjata tajam, pedang mahupun peluru senapang dan sebagainya. Keyakinan hanya semata-mata Allah itulah, yang membuatkan mereka berani, gagah, kuat dan selamat dari sebarang mara bahaya.

Ini bukanlah ilmu bersatu dengan Allah, tidak mungkin kita dapat bersatu dengan Dia. Kerana Dia itu esa jua. Tidak mungkin sesuatu yang esa dapat bersatu dengan yang lain, hanya yang lebih dari satu (esa) sahaja dapat bersatu, contohnya, kopi dan  susu, dapat bersatu menjadi benda baru iaitu kopi susu.  Tetapi jikalau hanya ada kopi sahaja bagaimana dapat ia bersatu menjadi kopi susu, kopi (esa) tetap kopi selama-lamanya.

Mereka yang mempunyai keyakinan di peringkat ini, tidak memandang lagi kepada yang lain, tetapi hanya kepada Dia. Mereka tidak lagi memandang alam sebagai alam, tetapi yang mereka pandang itu adalah Wajah Allah “berserta” alam. Mereka tidak lagi melihat diri, sebagai diri, tetapi yang mereka lihat itu adalah Wajah Allah “beserta” diri.


Bukan mereka menafikan kewujudan sifat alam atau sifat makhluk atau sifat diri, alam dan makhluk itu tetap ada buat sementara (walaupun hakikatnya tiada), tetapi mereka manggangap alam dan makhluk itu telah binasa dalam Wajah Allah. Kalau dibuat analogi, mereka hanya tertuju kepada sifat manis, tetapi bukan tertuju kepada sifat gula. Keyakinan pada tingkat baqa adalah satu keyakinan yang tidak berubah-rubah lagi, salik itu yakin dengan sepenuh-penuh yakin, tidak satupun yang dapat menggugat keyakinannya.

Berkelanjutan pada perpaduan yang sebati selamanya, yang tidak berpisah antara nafi dan isbat. Berkekalan sifatnya seperti sifat api dan dengan sifat asap, sebagaimana matahari dan cahaya matahari, sebagaimana bayang-bayang dengan tuan yang empunya bayang-bayang. Berkelanjutan sebagaimana tiada lagi yang menyembah dan tiada yang disembah, melainkan semata-mata Tuhan semesta alam, yang mutlak pada hakikatnya.

Berkekalan sifat manusia sebagai sifat makhluk, dan berkelanjutan sifat Tuhan sebagai sifat ketuhanan, tetapi di antara sifat manusia dan sifat penciptanya, tidak bercerai dan tidak bersatu, sebagaimana tidak bersatu dan tidak berpisahnya isbat dan nafi.Konsep keyakinan tingkat ma’rifat ini adalah berlandaskan wahdah atau keesaan dalam wajah Maha Pencipta. Yang ada (yang membuat), yang ujud (yang ada), dan yang maujud (yang dijadikan) hanya adalah wajah Pencipta yang satu.


Tingkat keyakinan kamil ini bukanlah sama dengan apa yang dikatakan konsep hulul (bersatu dengan Allah), dalam pengertian singkatnya hulul itu adalah bergabung dua yaitu hamba dan Tuhan menjadi satu, konsep ini adalah konsep yang tidak benar, tidak sama dengan konsep yang dibawa Rasulullah, karena Islam berlandaskan konsep fana, yakni tiada yang lain hanya Allah.

Konsep kamil bisa dianalogikan seperti berikut, tidak angka dua dan angka tiga dalam jumlah satu, angka dua, angka tiga, dan angka yang ke sejuta, dan angka yang ke sekian kalinya itu adalah tercantum dalam bilangan satu. Untuk orang makrifat walaupun seberapa banyaknya angka satu itu digandakan, ia tetap berwajah satu, walaupun begitu banyak manifestasi dzat dalam alam semesta, tetapi dzatnya tetap satu.

Sekali lagi disebutkan, salik yang berada di makam haqul yakin adalah berpegang pada keyakinan tingkat wahdah, esa, atau tunggal. Allah itu satu (esa) dalam sifatnya, namaNya, afaalNya dan dzatnya, yang bersifat itu hanya sifat untuk Allah, yang bernama itu hanya nama bagiNya, yang melakukan itu hanya perilaku bagiNya dan yang berdzat itu hanya dzat bagiNya. Namun Dia tetap satu itu jua.
Ada antara mereka berdoa sekali sahaja dikabulkan Allah, ….tetapi ada pula antara mereka yang berdoa banyak kali tetapi masih tidak dikabulkan permintaan mereka.. apakah yang membuatkan permintaan mereka mendapat reaksi yang berbeza daripada Allah. Banyak yang menyalahkan Allah kerana tidak mengabulkan permohonan mereka, tetapi sebenarnya mereka yang silap kerana salah teknik memohon.
Bukan ayat yang dibaca itu yang sakti, tetapi pembaca itu , yang mempunyai keyakinan yang tidak berbelah bagi,  keyakinan yang kental itu akan menghasilkan kekuatan batin di dalam diri mereka…. kekuatan itu sejajar dengan keyakinan yang mereka punyai… kekuatan batin ini pula akan menghasilkan getaran Rahsia Allah (Sir) yang terdapat di dalam diri mereka,  hasil dari  pancaran Dzat Allah,  apabila getaran Dzat Allah telah wujud dalam diri mereka, … maka IA  dapat mewujudkan apa yang diminta….

Tidak ada komentar:

Posting Komentar